Tuesday, August 26, 2008

Perkelahian Suami Isteri



Kasih sayang perlu ada untuk menjamin kebahagiaan sesebuah rumahtangga. Sebaliknya di dalam sebuah rumahtangga kasih sayang sudah tidak ada, tidaklah akan ujud perpaduan. Akibatnya, kalau ada sedikit kesalahan, ia akan diperbesarkan. Inilah kata orang, salah kecil jadi besar. kalau ada kasih sayang, salah besar jadi kecil dan kalau salah kecil langsung tidak nampak. jadi suami-suami adalah bertanggungjawab
memberikan kasih sayang terhadap isteri-isteri serta memupuk dan mempertingkatkannya. Hasil dari para suami menunjukkan sikap kasih dan sayang kepada isteri-isteri akan terhibur hati di samping para suami kerana hati mereka dijaga.

Di sinilah letaknya ilmu tasauf di dalam menjaga kerukunan rumahtangga. Di sini jugalah akan terlahirnya sifat-sifat yang terpuji seperti kasih sayang, lemah lembut, pemaaf dan sebagainya.

Demikianlah di antara tindakan-tindakan suami terhadap seorang isteri yang sudah melahirkan tanda-tanda nusyuz atau tanda-tanda derhaka. Suami tidak dibenarkan oleh syariat bertindak lebih dari itu seperti memukul dan sebagainya. Lebih-lebih lagi menjatuhkan talak ke atasnya. Begitu juga, suami isteri yang demikian tidak wajar pergi mengadukan masalah rumahtangganya ke pejabat-pejabat kadi.

Kerana, jalan-jalan syariat telah ditunjukkan Allah swt. Walau bagaimanapun, sudah memang sifat kejadian manusia ini mengandungi salah silap akibat dari kelalaian dan kelupaan. Ketika manusia ini lalai dan lupa, maka ketika itulah berlaku nusyuz seorang isteri terhadap suaminya. Jadi, walau pun kadang-kadang, suami telah memberinya didikan dan asuhan dari segi ilmu Tauhid, Fekah dan Tasauf, namun perbuatan nusyuz itu tetap juga berlaku. Boleh jadi, dia telah terang-terang menunjukkan perbuatan kederhakaannya kepada kita.

Apakah yang harus dibuat oleh suami ketika itu? Bolehkah suami-suami memukul isterinya ketika ini?
Jawabnya, TIDAK!

Suami tidak dibenarkan oleh syariat bertindak memukul isterinya, walaupun dia sudah terang-terangan derhaka kepada suami. Kalau kali pertama tadi, suami dikehendaki memberi nasihat dan sebagainya, maka tindakan suami bagi peringkat kedua ini ialah dengan berpisah tidur daripadanya.

Ertinya, suami yang mendapati isterinya menunjukkan kederhakaannya dengan nyata boleh bertindak menjauhkan diri daripada tidur bersama isterinya itu. Umpamanya,isteri tidur di dalam bilik, suami tidur di luar, bukan di luar rumah. Ketika suami bertindak itu, tindakannya boleh diceritakan kepada isterinya itu.

Katakan yang kita bertindak demikian kerana mendapati yang dia terang-terang menderhaka. Cuma, maklum sajalah di dalam zaman moden ini yang mana lelaki perempuan bergaul bebas. Mungkin dengan kita bertindak begitu, dia buat tidak peduli sahaja kerana esoknya ketika di pejabat, dia ada kawan lain untuk menghibur hatinya. Kerana demikian, kadang-kadang tindakan kita tidak memberi kesan kepada jiwanya yang sudah rosak.

Akibat dari itu, walaupun sudah sampai dua tiga malam kita pisahkan daripada tidur bersama isteri, namun kesannya tidak ada dan dia tetap juga menunjukkan sikap nusyuz atau derhakanya kepada kita. Ertinya, tindakan kedua tidak mendatangkan apa-apa. Maka itu, syariat Islam membenarkan suami memukul isterinya itu dengan syarat isterinya itu boleh mendapat manfaat.

Dalam hal ini, suami-suami hendaklah menilai kedudukan isteri di tengah masyarakat. Boleh jadi, dia seorang pendidik atau sebagainya yang mana kalau pukulan kita itu boleh memalu dan menghinanya, menyebabkan dia lari dari kita, ertinya pukulan kita itu tidak memberi faedah apa-apa. maka tidak bermaknalah kalau kita memukul isteri kerana dia berlaku nusyuz. Jadi syarat kita memukul isteri di dalam firman Allah bermaksud:

“Akan isteri-isteri yang kamu takuti perderhakaan mereka, berilah nasihat dan berpisah tidurlah kamu daripada mereka dan pukullah mereka itu.” An Nisa’ :34


Boleh kita lakukan, tetapi syaratnya mestilah ia memberi faedah. Kalau dengan kita memukul itu, ia tidak memberi faedah apa-apa kepada isteri, maka dia tidak boleh dipukul.

Maka syariat membenarkan suami tidak menegur sapa isterinya dengan syarat tidak melebihi tiga hari. Haruslah suami ingat bahawa tempoh yang membenarkan hanyalah tiga hari. Jika lebih dari tiga hari hukumnya haram. Ini adalah kerana diharap dalam tempoh tiga hari itu, isterinya akan berubah menjadi kian baik dari hari kesehari.

Seandainya setelah keempat-empat tindakan tadi dilakukan oleh seorang suami, masih tidak ada perubahan, maka ketika itu bolehlah suami tadi mengadu kepada pejabat kadi. Pihak kadi akan menyiasat tentang siapakah yang bersalah dan siapakah yang benar dan berdasarkan fakta-fakta tersebut, pihak kadi akan bertindak dalam menyelesaikan kes tersebut.

Jadi, kalau kita perhatikan di sini, jalan-jalan yang dilalui dalam menyelesaikan masalah nusyuz seorang isteri terhadap suami bukanlah sewenang-wenangnya.

Tidak boleh bagi seorang suami, apabila isteri baru menunjukkan tanda-tanda nusyuz, dia terus bertindak sehingga membawa kepada perceraian. Dan si isteri pula hendaklah memerhatikan tanda-tanda yang membawa dia kepada menderhakai suami kerana yang demikian itu boleh menjebakkan dirinya kepada perbuatan haram.

Si isteri jangan sekali-kali menganggap enteng sikap-sikap yang membawa kepada tanda-tanda nusyuz atau derhaka itu kerana percuma sahaja mendapat dosa.Sedangkan si suami yang sabar menempuh jalan-jalan tadi, akan diberi pahala besar oleh Allah.

Para isteri hendaklah sedar betapa tanggungjawab seorang suami itu adalah begitu berat sekali. Mungkin isteri mudah sekali mengeluarkan kata-kata yang keras dan lantang apabila suaminya menyuruh membuat sesuatu yang tidak disukainya. Tetapi, tidakkah si isteri terbayang betapa beratnya proses yang ditempuh oleh si suami dalam hendak menyelamatkan rumahtangga daripada hancur berkecai lantaran hendak menyelamatkan isteri daripada terjun ke dalam neraka.

Di samping itu, kalau sekiranya si suami hanya membiarkan isterinya tanpa dididik dan diasuh dari segi syariat samada di bidang Tauhid, di bidang Fekah ataupun di bidang Tasaufnya, apabila si isteri melakukan dosa, percuma saja si suami menanggung dosa itu bersama. Kerana seorang suami itu tidak akan terlepas daripada soal jawab di akhirat nanti tentang apakah yang telah dibuatnya terhadap anak-anak dan isterinya.

Sebab itulah para suami mesti mewajibkan isteri-isteri mereka mencari ilmu di bidang fardhu ain, kalau si suami tidak boleh melepaskan tuntutan itu sendiri. kalau si suami boleh mengajarnya sendiri, wajib dia melakukannya tetapi kalau suami tidak boleh mengajar anak isteri, wajib dia menghantar supaya mengaji fardhu ain pada tuan-tuan guru, ustaz-ustaz atau ustazah-ustazah. Inilah tanggungjawab yang amat berat dipikul oleh seorang suami di samping tanggungjawab menyediakan tempat tinggal, makan minum serta pakaian.

Kemudian para isteri juga tidak akan terlepas daripada tanggungjawabnya sendiri terhadap suami. Ini dapat kita simpulkan daripada hadis Rasulullah saw. Pertamanya, seorang isteri itu mestilah ada maruah terhadap suaminya. Ertinya, seorang isteri itu mesti menjaga adab sopan serta tata-tertibnya di hadapan suaminya. Dia tidak boleh menganggap suaminya macam kawan-kawannya sahaja dan tidak boleh sama sekali
mengecil-ngecil dan merendah-rendah martabat suaminya.

Ini sering berlaku di zaman ini kerana antara suami dan isteri kebanyakannya sudah kenal mengenal sebelum berkahwin. Perbuatan itu sangat dilarang oleh syariat dan hukumnya haram. Melalui pergaulan haram tadi iaitu sebelum berkahwin, apabila mereka sudah diijabkabulkan, masing-masing seperti dua orang kawan biasa. Jadi si isteri merasakan suaminya sebagai teman biasa sahaja hinggakan dalam panggilan pun, kedua-duanya hanya berbahasa “I” dan “You” sahaja.

Padahal syariat menghendaki seorang isteri itu sentiasa rasa malu terhadap suami, segan dan rasa rendah diri terhadapnya. Isteri mestilah merasakan yang suami itu adalah orang yang berkewibawaan, yang dapat memimpin dan mendidiknya kepada jalan selamat samada di dunia mahu pun di akhirat.

Yang kedua, seorang isteri mestilah menutup penglihatannya terhadap orang laki-laki yang bukan muhrimnya. Ertinya, seorang isteri tidak boleh memandang orang-orang lelaki lain melainkan suaminya dan lelaki yang sama muhramnya. Ini adalah kerana bagi mengelakkan para isteri terpengaruh atau tertarik kepada laki-laki lain.

Yang ketiga, seorang isteri itu mestilah patuh terhadap perintah suami kecuali arahan-arahan yang berlawanan dengan Al Quran dan sunnah. Umpamanya suami menghalang isterinya dari mengerjakan sembahyang. Isteri tidak boleh patuh kepada arahan itu.

Yang keempat, seorang isteri mestilah diam ketika suaminya sedang bercakap. Syariat melarang para isteri menyampuk-nyampuk cakap suami. Umpamanya, ketika suami sedang bercakap, si isteri memotong cakap suami itu tadi kerana maklum sajalah isteri-isteri zaman ini kadang-kala memiliki keilmuan yang sama taraf dengan suami. Tentulah si isteri merasakan yang dia juga berhak memberi buah fikirannya. Dan tentulah dia tidak mahu menjadi ‘Pak Turut’ sahaja.

Sebenarnya para isteri tidak boleh berbuat demikian, walaupun mungkin dia lebih pandai daripada suaminya. Dia mestilah diam dan mendengar saja setiap buah fikir percakapan suaminya. Kalau pun dia perlu bercakap,hendaklah dia menunggu sampai suami tidak lagi bercakap. Tetapi selagi suaminya sedang bercakap, dia mesti diam serta tunduk memberi penghormatan.

Yang kelima, seorang isteri itu mestilah berdiri ketika suami datang kepadanya.

Yang keenam, seorang isteri itu mestilah mengundurkan diri ketika suami hendak tidur.

Yang ketujuh, si isteri hendaklah sentiasa memakai bau-bauan untuk suami mereka agar dia dapat menarik kasih sayang suaminya. Yang menjadi satu keanehan ialah para isteri zaman sekarang, hanya akan berhias dan berwangi-wangian ketika hendak pergi ke majlis-majlis. Apabila di depan suaminya, dia tidak kesah tentang dirinya. Sedangkan perempuan dilarang oleh syariat untuk memakai bau-bauan ketika keluar
rumah hingga dihidu oleh orang lain.

Kelapan, seorang isteri mesti menjauhkan badannya daripada berbau busuk. Dia mestilah sentiasa menjaga kebersihan badannya supaya dapat memikat keinginan para suami. hal ini tidak payah sangat hendak kita sebutkan pada para perempuan zaman ini kerana sudah memang trend kaum wanita zaman ini sentiasa menjaga badannya. Kadang-kadang ada yang menahan dari makan dan minum kerana hendak menjaga badan supaya sentiasa ada ‘potongan’. Sampai kadang-kadang para suami pun naik bingung melihat isterinya memelihara badan sebegitu rupa.

Padahal kalau difikir-fikirkan, berapa lamalah sangat tahannya badan kita ini. Paling maksima, 50 tahun.Lepas itu badan pun entah ke mana. Sepatutnya yang mesti dijaga sungguh-sungguh ialah ruh badan kerana yang akan berhadapan dengan pertanyaan Allah ialah ruh. Ruh jugalah yang akan merasai azab.

Yang kesembilan, seorang isteri wajib berhias di hadapan suami. Di belakang suami isteri tidak wajib berhias, lebih-lebih lagi jika boleh mendatangkan fitnah.

Kesepuluh, isteri dilarang berhias ketika suaminya tiada.

Kesebelas, si isteri jangan berkhianat kepada suaminya ketika suaminya tiada di rumah. Juga tidak berkhianat terhadap harta-harta suaminya. malah jika ada orang datang ke rumah, tidak boleh dibenarkan masuk sekiranya tidak mendapat keizinan suaminya.

Ketiga belas, si isteri mestilah merasa puas jika sedikit diberikan suaminya. Ertinya, penghargaan yang besar haruslah diberi terhadap pemberian yang kecil oleh suami.

Keempat belas, isteri tidak boleh menolak sekiranya suaminya berkeinginan terhadapnya. Dalam hal ini,Rasulullah sendiri ada menyebutkan betapa pelawaan suami itu mesti ditunaikan oleh isteri-isteri walaupun di atas bonggol unta.

Kata Rasulullah lagi, kalau seorang isteri itu menolak pelawaan suaminya bila tidur malam dan suaminya terus tidur dalam keadaan marah, sepanjang malam itulah si isteri dilaknat para malaikat.

Yang kelima belas, seorang isteri tidak boleh keluar rumahnya tanpa izin dari suaminya. Sekiranya dia keluar juga tanpa izin suaminya, seluruh makhluk di dunia termasuk para malaikat akan melaknatinya sehinggalah dia bertaubat dan kembali kepada suaminya.

Demikianlah di antara tanggungjawab seorang isteri terhadap suaminya. Dan kalaulah para isteri dapat memikul tanggungjawab tersebut, dia akan menjadi isteri yang solehah. Dan di sini juga, para suami akan dapat menyuluh para isteri masing-masing sejauh manakah isteri-isteri mereka telah dapat dididik dan memikul tanggungjawab tersebut.

“Adapun perempuan-perempuan yang solehah itu, mereka yang taat kepada Allah dan suaminya dan memelihara hak suaminya sewaktu suaminya tidak ada.”

Monday, August 25, 2008

Selamat Berpuasa Kepada Semua Umat Islam!

Alhamdulillah...

Pejam celik...pejam celik dah nak masuk bulan puasa balik nie... antara bulan yang paling best dalam hidup aku... bestla sebab nak posa balik... harap-harap buleh buat solat terawikh penuh la... (actually best sebab paling banyak kenangan bila setiap kali bulan posa menjelma)... tapi biaq aku ja yang tahu udah la yer... huhuhuhu....

ermm... sebut bab posa... dah tentu kita akan sambut raya bila dah abis posa... raya kali nie pulak dah ada 2 orang anak... tapi mungkin 2 orang tu ajer la kot untuk family aku... kalau ada rezeki lebih (kehendak Illahi) mungkin akan ada lagi new comers dalam 5 tahun akan datang (the last one) ikut nasihat doktor la... coz my wife tu tak buleh nak bersalin melebihi 3 orang anak... arap-arap kalau ada rezeki lagi tu... baby girl la... bagi bertambah lengkap lagi family aku nie...

bila sebut bab family nie aku kekadang cam tak caya pun ada lagik... dah ada dua orang anak dah aku nie... cehh.. perasan muda lagi la... nak kata tak puas enjoy tu tak jugak... tapi sebenarnya terasa takut nak tanggung beban ke atas keluarga aku nie... iyer la... ketua keluarga la yang tanggung semua dosa-dosa ahli keluarga dia... ermm.. so bulan ramadan nie aku harap dapat la beramal ibadat lebih sikit berbanding bulan-bulan lain... kurang-kurang dosa yang dok ada sebeban buleh la kurangkan sikit...

itu ajer kot aku nak update blog nie buat kali ini... cam boring ja post nie... tapi lantak la... aku yang nak menyemakkan blog nie...muahahaha... so kepada semua umat islam seluruh dunia... selamat menempuh bulan puasa dan selamat beramal ibadat... lakukannya dengan seikhlas dan sebanyak yang mungkin...

"Yang pasti kita belum pasti adakah esok masih ada?"